MERBAU PULAS, 10 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merbau Pulas, Datuk Asmadi Abu Talib atau lebih dikenali sebagai Cikgu Madi menasihati anak muda harus berpandangan jauh ke hadapan serta mengelakkan politik kebencian.

Jelasnya, anak muda perlu tolak faham politik yang sempit dan lapuk terutamanya hasut menghasut.

“Saya mahukan orang muda kali ini kena tengok ke depan, jangan tengok politik benci membenci, nak tengok politik di depan apakah peluang yang depa dapat. Apabila berlaku macam ini peluang ini sudah tidak ada pada anak muda. Kalau dapat peluang ‘kalih bagi sama’ dengan kerajaan pusat.

“Anak muda kena buat satu keputusan supaya melihat apa yang hendak dilakukan daripada berbicara soal Menteri Besar Kedah yang boleh sekadar berjanji tanpa ada perancangan, tatakelola yang baik untuk negeri Kedah.

“Masalah akan berterusan terutamanya harga rumah yang mahal dan anak muda terpaksa berpindah dari satu tempat ke tempat lain hingga ke mana pun tidak tahu kerana tidak ada pemantauan yang baik,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Katanya, kerana kegagalan kerajaan negeri menangani kebajikan rakyat dan tiada pemantauan dari pihak yang wujud bagi menangani permasalahan ini.

Seterusnya beliau berkata ‘The Greater Kedah’ merupakan sesuatu propaganda dari Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang cuba menidakkan kegagalannya.

“Nak tunjuk The Greater Kedah yang telah buat tapi sebenarnya kalau lihat satu persatu apa yang telah mereka buat semuanya adalah hasil dari kerajaan BN bukannya kerajaan hari ini.

“Nak kosmetik dan tunjuk pada orang muda dan macam-macam mereka buat semuanya adalah hasil dari BN. Sepanjang beliau menjadi Menteri Besar, apa yang telah dicapainya?

“Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan Rubber City adakah ideanya? Adakah semuanya itu idea dia ataupun idea ciplak untuk menunjuk kepada rakyat bahawa beliau sudah berjaya sebagai sebuah kerajaan di negeri ini,” tegasnya.